Thursday, October 29, 2009

Sekitar Malam Pelancaran Album DRUR, 17 Oktober 2009
















Berikut adalah gambar-gambar yang diambil oleh seorang jurugambar berpengalaman, Shahril Rani pada Malam Pelancaran Album Dari Rakyat Untuk Rakyat (DRUR).












Sunday, October 18, 2009

BERNYANYILAH DARI HATINURANI*

*Teks ucapan Pak A. Samad Said melancarkan album Meor Yusof Azidin, Dari Rakyat Untuk Rakyat

Malam ini saya rasa seniman coba mengimbangi kuasawan. Kita lebih melakukannya dengan kata-kata berbeda dengan kuasawan yang selalu melakukannya melalui dana.

Kata-kata selalunya “mengkhayalkan” sementara dana “memungkinkan”. Biar apapun peranannya, malam ini, peranan seniman mungkin lebih untuk sekedar “menyedarkan.” Terlalu ramai kuasawan yang terlupa, khususnya kuasawan yang sedang benar-benar berkuasa.

Tema utama kita tampaknya ialah “Dari Rakyat ke Rakyat”. Tapi, sebenarnya kita ingin berdialog dengan pemimpin—kita bercakap saja sesama sendiri, sesama rakyat.
Sebenarnya, kita menyanyi.

Dipercayai atau tidak sebuah lagu biasanya sebuah suara batin—suara dari batin—kejujuran dari batin. Dan malam ini, kejujuran dari batin coba menghantar reslitas masakini melalui lagu atau melodi yang lama terganggu. Ia penuh dengan rintih dan jerit; bisik dan raong. Tapi, isinya berlegar seputar ketidakadilan yang sedang berterusan—kepincangan masalalu (Fatehah Memali) dan ketimpangan masakini (Ikut Suka Aku—ISA).

Lagu-lagu sebondong ini terkadang tidak begitu melodius—lirik lebih nyaring daripada musik. Tapi, itulah kehidupan sebenar—real dan kasar—realitas yang sentiasa tidak melodius; yang melodius selalunya adalah khayalan.
Sebanyak 10 lagu terhimpun dalam album pedih ini, tapi kelahirannya memang petanda jujur bahawa masih terus ada duri siksa dalam masyarakat kita. Seniman membantah kepincangan ini.

Tentu saja akan ada setengah kuasawan yang menganggap bahawa album ini adalah serpihan propaganda. Benar juga—ia propaganda, tapi suara yang tulen. Ada propaganda melalui cogankata yang mendadak—cogankata (tahu-tahulah sendiri) yang sangat nyaring (atau memang dinyaringkan) kerana semua media utama (yang citak, yang letronik)—patuh (terkadang melampau) menjeritkan propaganda itu.
Ada bedanya antara propaganda institusi gergasi dengan propaganda jerit insan kecil. Yang perama sangat berazam diguruhkan; yang kedua sekedar berharap suaranya terdengar.

Di sinilah terletaknya album “Dari Rakyat ke Rakyat” oleh Meor Yusof Azidin (pada tempat-tempat tertentu disokong Black dan Rahmat Haron). Lagu-lagu dalam album ini adalah pesanan jujur (atau setingginya jeritan jujur) dari batin seniman yang sedang terdera—tersiksa oleh realitas hidup yang mendendangkan suara-suara bombas yang terlalu berat sebelah. Dan ingat, “pelampau” memang perlu diwaraskan. Keras yang buas perlu dilembuti tangan yang berhemah.

Lagu “Ikut Suka Aku—ISA” ini memang dengan mudah diselar sebagai propaganda politik kontemporer; sebaliknya, ia sebenarnya adalah jeritan masakini yang memang masih terus mendera.

Begitu juga lagu “Fatehah Memali” mudah diselar sebagai propaganda berhasrat. Padahal ia adalah jeritan semula masalalu yang tertimbus—atau ditimbus oleh kuasa lalu yang sangat gamam. Pemangsaan tidak pernah tidur nyenak; ia terpaksa bangun mewaraskan pemangsaannya. Makanya, lagu “Fatehah Memali” membangunkan yang tidur supaya dapat sama-sama mencari kejernihan, bukan meneruskan kekeruhan.

Sangat lama, malah sedang terus, kita didesak percaya bahawa insan Memali “gila”, kerajaannya yang waras ketika tercetusnya peristiwa. Jentera propaganda Kerajaan terlalu menekan dan menghukum ketika itu. Tapi, sekarang ini, generasi mudanya mula berupaya melahirkan iklim baru—yang salah wajar diperiksa. Mereka mencari kejernihan, bukan meneruskan kekeruhan.

Memangpun pada malam ini secara berdikit dan jujur, generasi muda ini ingin meluhurkan semula perjuangan. Masakini bukan lagi sepenuhmnya hak generasi lalu; masakini adalah lebih hak generasi kini.

Sokonglah “Dari Rakyat ke Rakyat.” Bernyanyilah dari hatinurani; bukan dari keangkuhan diri.—A. SAMAD SAID.

17 Oktober 2009.

catatan SampahSeni:
-Fatehah Memali dalam teks ini merujuk kepada lagu Syuhada Memali, lirik Amin Iskandar.
-Dari Rakyat Ke Rakyat merujuk kepada album Dari Rakyat Untuk Rakyat






Lagu ganti demonstrasi jalanan

Jimadie Shah Othman (Malaysiakini)
Okt 18, 09
6:20pm


Jika desakan terhadap pemansuhan Akta ISA sebelum ini dilihat sinonim dengan demonstrasi jalanan, pendekatan terbaru Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) melalui nyanyian dan persembahan pentas mungkin boleh mengubah persepsi itu.

Malam tadi, seorang penyanyi folk berbakat besar, Meor Yusof Aziddin mengambil inisiatif melagukan kritikan pedas terhadap akta itu di atas pentas GMI.

"Rakus, kau perkosa jiwa rakyat/kau rampas anugerah kurniaah Ilahi/apakah ertinya kebebasan di bawah belenggku kau/apakah ertinya kebebasan di bawah belenggu kau?

"Fitnah, kau lontarkan tohmahan kau/kaupalitkan arang ke mukaku/apakah ertinya maruah di bawah fahaman kau/apakah ertinya hak di bawah telunjuk kau?
" demikian senikata lagu ISA (Ikut Suka Aku) dipetik.

Dalam album Dari Rakyat untuk Rakyat (DRUR), Meor - penyanyi indie yang aktif dengan persembahan jalanan (baskin) - didokong beberapa penulis popular seperti Hishamudin Rais, Pyanhabib, Abdullah Jones dan Rahmat Haron yang tampil menyumbangkan lirik.

Beraksi hanya di sebuah dewan orang ramai di Kuala Lumpur malam tadi, program GMI kali ini berbeza sekali dengan pendekatan sebelumnya yang sering menganjurkan pidato politik yang berapi-rapi.

Di hadapan kira-kira 100 penonton yang hadir, Meor berjaya menyampaikan mesej tersiratnya dengan santai melalui dendangan lagu-lagu berentak catchy, antaranya, ISA (Ikut Suka Aku), Bapakku Seorang YB, Rakyat Bersatu dan Shuhada Memali.

Album propaganda

Sasterawan Negara A Samad Said, ahli parlimen ADUN Hulu Klang Saari Sungib, pengerusi GMI Syed Ibrahim Syed Noh dan penyair terkenal Dinsman turut hadir.

Meor ketika ditemui Malaysiakini berkata, beliau tampil menampilkan album "propaganda" itu kerana turut tidak berpuas hati dengan akta ISA.

"Saya mahu meraikan pandangan rakan-rakan yang menulis lirik-lirik sebegini. Saya berkongsi pandangan dengan mereka. Selama ini tidak ada album sebegini dibuat.

"Kalau kita buka radio, hanya lagu-lagu yang sama juga dimainkan," kata anak kelahiran Perak itu.

Menurutnya lagi, setelah menghasilkan enam album, inilah kali pertama beliau merasa berpuas hati dengan hasil karyanya.

"Saya rasa inilah yang saya hendak lakukan. Ia selari dengan perkembangan semasa," kata peminat P Ramli itu.

DRUR memuatkan sepuluh lagu dan diterbitkan secara Do It Yourself (DIY) oleh pencipta dan penyanyinya sendiri. Buat masa ini, DRUR boleh didapati dengan menghubungi pengedarnya di talian 012-5901798.




Friday, October 16, 2009

T-Shirt DRUR


Sempena pelancaran album DRUR malam ini di Dewan MPAJ, AU2 pada pukul 8.00 malam ini, CRG Communication mengeluarkan T-Shirt DRUR.

Stoknya terhad. Terdapat dalam pelbagai warna seperti hitam, oren dan ungu.

Harga RM 30. Siapa cepat dia dapat.

Jumpa malam ini di Dewan MPAJ Au2!














Friday, October 9, 2009

Pelancaran Album DRUR


Majlis pelancaran album Dari Rakyat Untuk Rakyat (DRUR) oleh Meor Yusof Aziddin akan diadakan oleh CRG Communication dengan kerjasama Adun Hulu Kelang, YB Shaari Sungib dan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI):



Tarikh: 17 Oktober 2009
Tempat: Dewan Serbaguna AU2, Taman Sri Keramat, Keramat.
Masa: 8.30 - 12 malam.

Majlis pelancaran ini akan mempersembahkan dokumentari "Al-Fatehah Memali", karya Rahmat Haron.

Selain daripada itu, ianya akan turut dimeriahkan oleh Datuk A. Samad Said, Kumpulan D Palang, Nik Binjidan, Amin Iskandar dan ramai lagi. Ada beberapa nama yang akan diumumkan kemudian.

Sila catatkan di kalender anda.
Jangan terlepas peluang untuk menghadiri program ini!

CRG Communication














Monday, October 5, 2009

Terima kasih daun keladi...

Updates 2

Seorang peguam yang sedang meningkat naik namanya turut membantu mempromosikan album DRUR. Klik disini. Penulis lirik "Bapaku Seorang YB" turut mengiklankan album DRUR disini.

Updates

Abdullah Jones, salah seorang penyumbang lirik dalam album DRUR turut membantu mempromosikan album DRUR. Klik disini. Begitu juga seorang sahabat dari Teluk Intan yang secara kebetulannya bernama Meor juga disini.

Anda bila lagi?

Posting Asal


Kawan-kawan dari beberapa laman web dan blog telah membantu mengiklankan album DRUR. Terima kasih daun keladi kami ucapkan.

Diantaranya ialah laman web Malaysia Today disini, Perak Express, Laman Marhaen, Tranungkite dan lain-lain lagi.

Tidak lupa juga kepada blog-blog seperti Sampahseni, Nikbinjidan dan blog-blog yang telah berjanji untuk membantu untuk mempromosikan album seperti Penarik Beca dan Tukar Tiub.

Diharapkan, penulis lirik lagu "Bapaku Seorang YB", Yang Berbahagia saudara Pyanhabib akan turut membantu mengiklankan album DRUR oleh kerana blog beliau amat popular masakini.

Sekali lagi, terima kasih daun keladi.

CRG Communication




Sunday, October 4, 2009

DRUR telah berada dipasaran

Alhamdulillah. Akhirnya, album (Dari Rakyat Untuk Rakyat (DRUR) telah siap dan berada di pasaran.

Didalam album ini, terdapat 10 buah lagu seperti :

1) I.S.A (Ikut Suka Aku)
2) Bapakku Seorang YB
3) Sampai Bila
4) Rakyat Bersatu
5) Membenarkan Kebodohan
6) Awas Api Perempuan Ini (a.A.P.I)
7) Kejalan Lagi
8) Raungan Anak Belantara
9) Lagu Aman, Lagu Damai
10) Shuhada Memali.

Kesemua lagu dicipta oleh Meor Yusof Aziddin. Lirik disumbangkan oleh beberapa pihak seperti:

1) Amer Hamzah Arshad
2) Pyanhabib
3) Meor Yusof Aziddin
4) Hishamuddin Rais
5) Abdullah Jones
6) Rahmat Haron
7) Ubi Lepih
8) Amin Iskandar

Harga album ini adalah RM 20.
Bagi yang ingin membeli melalui pos, sila klik disini untuk keterangan lanjut.
Harga CD yang dipos bagi dalam negara adalah RM 25 (termasuk kos penghantaran) dan bagi luar Malaysia, harganya RM30 (termasuk kos penghantaran).

Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat.

Salam dari,

CRG Communication